Pulau Besar Melaka
Pulau Besar merupakan salah satu tempat yang bersejarah di negeri Melaka, sering dikaitkan dengan kisah mistik serta memiliki lagendanya yang tersendiri. Ia juga merupakan antara lokasi penyebaran agama Islam di nusantara suatu ketika dahulu. Pulau Besar juga memiliki keunikan dan menjadi lokasi kunjungan orang ramai di hari cuti. Jika ingin ke Pulau Besar, pengunjung perlu menaiki bot laju atau feri dari Jeti Umbai.
Pulau Besar Melaka ini berada di sempadan Kepulauan Sulawesi Pulau Besar dan Selat Tebrau iaitu kira – kira 3 batu nautika dari Bandar Hilir, Melaka. Malah, ia turut dikenali sebagai pulau eko – pembesaran.
Aktiviti Di Pulau Besar
Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan jika berkunjung ke Pulau Besar ini antaranya perkelahan di tepi laut, perkhemahan, memancing, berbasikal, berkayak, wall climbing, memanah, jungle trekking, island hoping, barbeku dan juga melawat ke tempat – tempat menarik di kawasan sekitar. Selain itu, pengunjung juga boleh menginap di chalet berhampiran yang terdapat di sini.
Tempat Yang Boleh Dilawati , Peta Pulau Besar , Melaka
Banyak tempat – tempat menarik untuk dilawati jika berkunjung ke Pulau Besar ini. Antaranya adalah seperti berikut :
Muzium Pulau Besar
Muzium ini mempamerkan hasil sejarah di pulau ini. Pengunjung boleh masuk ke muzium ini dengan bayaran tiket RM 5 untuk dewasa dan RM 3 untuk kanak – kanak.
Gua Yunus
Gua Yunus mendapat nama dari seorang wali Allah SWT iaitu Sheikh Yunus yang menjadikan gua ini sebagai tempat pertapaan suatu tika dahulu dan beliau merupakan orang yang pertama menjumpai gua ini. Pengunjung perlu mendaki dan memanjat bukit dari pantai yang bertentangan jeti pulau jika ingin memasuki ke dalam gua. Di bahagian atas gua ini, pengunjung boleh memanjat tali dan melihat sendiri tapak kaki yang ditinggalkan oleh penghuni pulau ini.
Makam Sultanul Al – Arifin
Makam Sultanul Al – Arifin terletak berhampiran masjid. Dikatakan Sultanul Al – Arifin ini merupakan seorang yang berilmu tinggi dalam bidang agama dan mengembara ke Pulau Besar bagi mendalami ilmu agama.
Istana Bunian
Terdapat sebuah perkampungan bunian di Pulau Besar ini yang kemudiannya dijadikan sebagai sebuah resort yang dikenali dengan nama Marina Resort. Kejadian mistik pernah berlaku di sini di mana sebuah jentera telah meletup secara tiba – tiba dan menyebabkan kematian pemandu jentera tersebut. Pada ketika itu, jentera tersebut digunakan untuk meruntuhkan kawasan tanah tinggi di kawasan tersebut, namun tidak berjaya. Tempat ini masih agak misteri, namun tetap dibuka untuk kunjungan orang ramai.
Batu Tengkorak
Batu Tengkorak ini berbentuk tengkorak manusia dan memiliki mitosnya yang tersendiri. Ia terletak di kawasan Pandanusa Gold Club dan juga berhampiran kawasan pantai.
Jeti dan Pantai Pulau Besar
Kawasan sekitar jeti ini antara tempat yang menarik di Pulau Besar. Pengunjung boleh menikmati keindahan matahari terbit dan terbenam serta menikmati keindahan pemandangan yang terdapat di sini. Udara segar di sini membuatkan pengunjung berasa tenang jika berada di sini.
Pokok Disula
Pokok Disula berbentuk seakan tangan kiri seseorang sedang memeluk pasangannya di bawah pokok dan ianya terletak di kelab golf. Menurut kisah dahulu, terdapat sepasang kekasih sedang bercanda dan mereka telah ditangkap serta disula di bawah pokok tersebut.
Tasik Biawak
Tasik Biawak merupakan tasik buatan manusia yang terletak di padang golf. Ia dipenuhi oleh biawak yang bersaiz besar yang memakan ikan di dalam tasik tersebut. Di dalam tasik ini juga terdapat batu yang berbentuk tengkorak manusia.
Batu Belah
Batu belah ini merupakan sebuah batu berukuran 3 meter tinggi, 35cm lebar dan kedalaman sejauh 1.5 meter. Batu ini dikatakan hasil belahan Panglima Lidah Hitam di mana dahulunya terdapat sekumpulan pendekar dan pahlawan yang masing – masing menunjukkan kehebatan ilmu yang dimiliki.
Keramat Ular
Keramat Ular ini dikatakan seorang wali Allah yang boleh menjelma sebagai seekor ular sawa. Bagi sesiapa yang bertuah akan dapat bertemu dengan wali Allah tersebut yang membawa guni berisi arang. Dikatakan jika tiba di rumah, arang tersebut akan bertukar menjadi barang yang berharga. Sekitar kawasan ini terdapat pokok pandan yang digunakan untuk membuat tikar.
Makam Nisan Satu
Makam ini dikatakan memiliki sebiji batu nisan sahaja dan terletak berhampiran Batu Tengkorak. Makam ini dikatakan milik seorang pemuda yang sangat kacak dan tampan berumur dalam lingkungan 18 – 19 tahun. Walau bagaimana pun, namanya tidak dapat dikenalpasti.
Perigi Nenek Musallimah
Suatu tika dahulu terdapat seorang nenek tua di Pulau Besar ini. Air perigi ini dikatakan dapat menyihatkan badan, dijadikan sebagai pelaris dan juga boleh dijadikan air mandian bunga. Nama perigi ini diambil sempena nama nenek tersebut yang merupakan seorang bidan dan juga dukun. Lokasi perigi ini berada di dalam kawasan Pusat Latihan IMM dan bersebelahan Chalet 007.
Makam Syarifah Rodziah
Makam Syarifah Rodziah terletak berhampiran pintu masuk halaman ke surau dan juga makam Sultanul Aarifeen. Beliau dikatakan wali perempuan bernama Syarifah Habsah iaitu anak perempuan Sultanul Aarifeen As Sayyid Ismail. Merupakan saudara kandung Syarifah Rodziah dan makamnya terletak di bandar Melaka.
Batu Lesung
Batu Lesung juga dikenali dengan nama Batu Putih yang berbentuk seperti lesung batu. Ia terletak di tengah laut, namun orang ramai boleh menuju ke Batu lesung sekiranya air laut surut dan menyusuri kawasan batu karang. Namun sekiranya air laut pasang, orang ramai perlu meredah air laut untuk ke Batu Lesung ini. Di kawasan tengah Batu Lesung ini terdapat pokok – pokok yang tetap sama saiznya biarpun telah berabad lama di situ.
Tapak Kaki Sultanul Aarifeen
Selain makam, terdapat juga kesan tapak kaki kanan yang dikatakan milik Sultanul Al-Arifin dan berada di kawasan D’Puteri Kurnia Resort. Tapak kaki kiri pula dikatakan berada di Pulau Serimbun.
Perigi Di Kaki Pulau
Perigi ini sering digunakan oleh tentera Jepun untuk memenggal kepala orang – orang Cina. Kepala tersebut akan dicampakkan ke dalam perigi ini dan perigi ini tidak digunakan sehingga sekarang.
Batu belayar
Batu Belayar merupakan batu bersaiz sederhana berbentuk seperti kepala kuda. Asalnya batu ini berada di dalam laut, kemudian terapung di dasar laut yang akhirnya tersangkut di pulau ini. Batu ini juga dikatakan menjadi pengikat tali kapal yang digunakan 7 beradik ketika berlabuh di Pulau Besar. Kini batu tersebut terletak berhampiran Jeti Pulau Besar.
Keramat Masin Tawar
Keramat Masin Tawar merupakan lopak air yang berbentuk menyerupai perigi lama dan terletak berhampiran kawasan pantai. Semasa air surut, airnya akan berasa tawar dan airnya dikatakan memiliki pelbagai azimat yang boleh dijadikan minuman, mandi dan boleh dijadikan pelaris. Suatu tika dahulu perigi ini digunakan untuk mendapatkan harta karun dan keramat ini mempunyai penjaga iaitu puteri bunian bernama Puteri Nilam.
Perigi Bunian
Perigi Bunian ini berada berhampiran pantai dan di kawasan Marina Beach Resort. Air perigi ini dikatakan paling bersih dan jernih. Perigi ini digelar Perigi Bunian kerana para nelayan yang berlindung di kawasan ini ketika cuaca buruk akan terdengar suara sekumpulan wanita yang sedang bersuka ria di perigi tersebut. Malah, kedudukan perigi ini yang berada di perkampungan bunian pula menguatkan lagi bahawa ianya dikuasai oleh kaum bunian. Sebuah tasik berhampiran juga turut dikenali dengan nama Tasik Bunian.
Panduan ke Pulau Besar
Jeti Anjung
Pengunjung boleh menaiki feri di Jeti Anjung Batu atau menaiki bot laju yang disewa di Muara Sungai Umbai, Melaka.
1) Perjalanan menaiki bot dari Jeti Anjung Batu ke Pulau Besar mengambil masa sehingga 30 minit sahaja dengan tambang tiket berharga RM 14 seorang. Jadual berlepas bermula jam 8.00 pagi, 9.00 pagi, 12 tengahari, 2.00 petang, 4.00 petang dan 6.00 petang sahaja. Bot hanya beroperasi pada 8.00am dan 6.00pm sahaja.
2) Pengunjung juga boleh menyewa bot laju di Muara Sungai Umbai, Melaka dengan kadar RM 120 untuk sewaan (pergi dan balik). Saiz bot ini adalah bersaiz sederhana dengan hanya mampu memuatkan sehingga 10 orang penumpang pada satu – satu masa. Masa perjalanan bot adalah bergantung kepada permintaan pengunjung.